1.    Doktrin Blok Ideologi Yang Mengerikan

Tulisan ini cuba mempromosikan suatu wacana yang berhubung dengan paradigma politik bernegara Borneo (Sabah Sarawak) dalam konteks Gagasan Malaysia, iaitu tentang tatacara bermasyarakat dan berkerajaan bersama dengan Malaya yang bergabung sejak 16 September 1963.

Dalam konteks Sabah, penduduk Sabah hari ini terbahagi kepada dua blok ideologi besar. Pertama adalah mereka yang mahu melindungi dan mempertahankan kedaulatan kuasa memerintah Sabah dari sudut orang asal yang majoritinya terdiri daripada mereka yang sama ada Non-muslim atau masih Pagan.

Kedua adalah mereka yang mahu mengekalkan kelangsungan dominasi kuasa ketuanan Malaya di Sabah yang kononnya demi kewujudan kerajaan Sabah yang berteraskan Islam, yang juga majoritinya terdiri daripada mereka yang Muslim.

Persoalannya ialah, benarkah bahawa blok ideologi yang kedua tersebut di atas betul-betul mahukan ketuanan Malaya atau sekadar akibat akhir dari kegagalan mutlak dalam memahami konsep politik berbangsa, bernegara dan berkerajaan dari sudut nasionalisme dan patriotisme orang asal tanpa mengambil kira susun galur leluhur darah Sabahan?

Perlu dijelaskan bahawa, saya bukan orang politik yang juga hanya laksana sebutir pasir di Borneo. Namun begitu, saya sering berkata agar pengamal politik Sabahan bersikap dedikasi dalam melihat keseluruhan Sabah dari sudut nasionalisme dan patriotisme bangsa-negara Sabah dengan mengambil kira sejarah dan susun galur leluhur masa silam Sabahan.

Maksudnya, menjunjung ungkapan “Demi Bangsa-Negara Sabah” hendaklah mendahului ungkapan “Demi Parti Politik” apatah lagi parti politik ‘Made In Malaya’ yang sedang menindas, disamping telah mengkhianati hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia lebih setengah abad yang lalu,  sehingga membawa kepada pembahagian penduduk Sabah ke dalam dua blok ideologi besar yang saling bertentangan.

Apapun, implikasi pertembungan kedua-dua blok ideologi besar yang dimaksudkan akan membelah diri Sabahan daripada jalur pemikiran damai kepada jalur pemikiran sengketa berpanjangan yang amat suram dan begitu merugikan dalam konteks satu komuniti identiti bangsa-negara Sabah yang tidak lagi harmoni di masa hadapan.

Dalam erti kata lain, tidak lagi berpandukan kepada garis hidup aman damai dan sentosa yang diinginkan dan yang diwariskan oleh leluhur masa silam Sabahan, sehingga garis hidup mereka tidak lagi dapat dipertahankan untuk gagal dihantar kepada generasi yang akan datang.

Sehubungan itu, apa yang sangat membimbangkan dan bahkan paling mengerikan jika pemecahan penduduk Sabah kepada dua blok ideologi besar doktrin Malaya ini, ada kemungkinan untuk bakal menghantar generasi Sabahan di masa yang akan datang ke lembah permusuhan berdarah atas nama fanatik agama dan sentimen kaum sebagaimana sengketa seumpamanya di negara-negara timur tengah.

2.    Konsep Politik Bernegara

Definisi 'politik' yang paling mudah difaham adalah pengetahuan mengenai ketatanegaraan atau kenegaraan yang berhubung dengan bentuk suatu pemerintahan atau dasar pemerintahan sesebuah negara. Dengan kata lain, bentuk pemerintahan yang digunakan dalam mentadbir sesebuah negara (negara Sabah contohnya) dari sudut paradigma falsafah politik.

Buku ‘Politik’ karya Aristotle (350SM) terjemahan Benjamin Jowett, merupakan titik asas yang membahaskan kehidupan konsep politik bernegara, khususnya politik negara barat. Buku ‘Politik’ merupakan karya pertama yang membincangkan secara mendalam dan terperinci mengenai bentuk-bentuk pemerintahan dan kehidupan berpolitik sesebuah negara.

Menurut Aristotle, bentuk negara yang baik adalah polisi negara yang berdasarkan kepada ‘kepentingan umum dan setiap individu’. Sedangkan bentuk pemerintahan yang hanya berdasarkan kepada unsur penguasa elit adalah bentuk pemerintahan yang buruk.

Menurut Aristotle, bentuk pemerintahan yang baik adalah Monarki, Aristokrasi dan Politeia. Sedangkan bentuk pemerintahan yang buruk adalah Tirani, Oligarki dan Demokrasi.

Namun begitu, Monarki dianggap sebagai pemerintahan yang baik hanya jika raja yang memimpin adalah orang yang berdasarkan kepada pengalaman yang dimilikinya yang sentiasa bertindak atas dasar perkara yang bijaksana (falsafah). Tetapi, untuk mencari orang seperti yang dimaksudkan adalah sesuatu yang sukar, kerana monarki juga terdedah kepada bentuk kezaliman dan penindasan.

Menurut Aristotle, Aristokrasi merupakan satu bentuk yang lebih baik dari Monarki. Sebab, dalam Aristokrasi pemerintahan tidak hanya dikendalikan oleh satu orang, melainkan oleh sekumpulan orang yang mempunyai sifat yang baik.

Namun begitu, hampir menjadi sesuatu yang tidak mungkin untuk mencari sekumpulan orang seperti yang dimaksudkan. Sehingga bentuk Aristokrasi besar kemungkinan akan jatuh juga ke lembah bentuk Oligarki akhirnya. Justeru, menurut Aristotle Politeia (pemerintahan yang dipegang oleh seluruh rakyat untuk kepentingan umum) adalah bentuk pemerintahan yang paling baik. Sebab, dalam Politeia setiap individu berkuasa atas sesamanya dan begitu juga sebaliknya.

Dengan kata lain, kuasa pemerintahan terletak di tangan khalayak umum. Namun begitu, yang membezakan ‘Politeia’ dengan ‘Demokrasi’ adalah bentuk demokrasi yang lebih sederhana kerana kebebsannya di ikat oleh ‘Perlembagaan’ yang menjadi acuan kepada pelaksanaan sistem pemerintahan bernegara.

Menurut Aristotle, yang menjadi landasan paling asas sistem demokrasi adalah kebebasan, dan salah satu prinsip kebebasan adalah setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk memerintah secara bergilir-gilir. Namun begitu, permasalahannya adalah jika kebebasan diberikan kepada setiap individu, tentunya akan berlaku pertembungan maksud dari kebebasan individu. Yang demikian, akan muncul persoalan kehendak siapa yang menjadi acuan bersama?

Justeru, Aristotle berpendapat bahawa, yang menjadi acuan bersama adalah apa yang dikatakan sebagai kehendak bersama. Aristotle melihat bahawa, kewujudan orang miskin jauh lebih ramai dari orang kaya. Justeru, hampir dapat dipastikan atau boleh diagak bahawa, yang akan menjadi acuan bersama adalah apa yang menjadi kehendak dari orang miskin.

Lantaran itu, Aristotle mencadangkan, agar setiap individu mesti hidup sesuai dengan kehendaknya. Ertinya, setiap individu perlu diberikan kebebasan dalam menentukan hidup tanpa mendapat kawalan dari orang lain, kerana apabila individu tidak boleh hidup mengikut kehendaknya sendiri, maka kehidupan akan menjadi sama saja dengan hamba.

Oleh itu, muncul anggapan bahawa setiap individu tidak boleh dikuasai oleh orang lain. Maka, setiap individu diberikan peluang untuk menguasai dan dikuasai. Dengan kata lain, prinsip kebebasan yang didasarkan kepada asas persamaan dalam bermasyarakat, bernegara dan berkerajaan dalam erti kata demokrasi yang mengutamakan sikap saling hormat-menhormati dan lindung-melindungi dalam lima bentuk demokrasi.

3.    Bentuk-Bentuk Demokrasi

Pertama, orang miskin tidak mendapat keuntungan dari orang kaya, namun di antara keduanya tidak ada yang boleh menjadi tuan atau hamba, melainkan keduanya sama. Prinsip yang digunakan untuk mewujudkan asas persamaan yang ada dalam demokrasi adalah dengan cara saling berkongsi. Oleh itu, yang menjadi penentu dalam konteks demokrasi adalah kehendak majoriti;

Kedua, pemerintah dipilih berdasarkan kepada kelayakan tertentu, dalam erti kata pemilikan yang terbatas. Ertinya, pemilikan yang dimaksudkan adalah sesuatu yang dimiliki oleh sedikit orang, sehingga menjadi lebih mudah dalam menentukan siapa yang memerintah. Contohnya, pemilikan harta kekayaan. Individu yang mempunyai harta akan diberikan peluang dalam mengambil bahagian dalam pemerintahan, sedangkan mereka yang tidak memilikinya akan kehilangan hak-haknya.

Ketiga, setiap individu yang tidak kehilangan kelayakan tersebut memperoleh kesempatan untuk turut serta dalam pemerintahan, namun statusnya masih di bawah undang-undang yang menjadi kedaulatan tertinggi. Ertinya, setiap individu atau golongan termasuk kerajaan, statusnya tetap terikat oleh undang-undang yang berlaku.

Keempat, setiap individu yang berstatus warganegara mempunyai peluang yang sama untuk melibatkan diri dalam pemerintahan, namun perlembagaan atau undang-undang tetap menjadi sandaran yang paling tinggi.

Kelima, semua aspek dari demokrasi yang sebelumnya tetap sama keadaannya, namun yang menjadi sandaran tertinggi bukanlah undang-undang, melainkan rakyat sendiri. Kedudukan rakyat berada di atas undang-undang. Namun begitu, bentuk negara yang seperti yang dimaksudkan sangat terdedah kepada gangguan demagog (penghasut). Kerana pemerintah demagog sendiri yang kemungkinan menyebarkan pelbagai isu negatif yang membuatkan keadaan sosial dan negara kacau-bilau.

4.    Pemeringkatan Golongan Sosial

Menurut Aristotle, dalam sebuah negara terdapat tiga peringkat golongan sosial, pertama golongan sosial yang kaya; kedua golongan sosial yang miskin; dan ketiga golongan sosial yang pertengahan.

Menurut Aristotle, dalam sebuah negara golongan kaya akan memandang remeh prinsip rasional kerana beranggapan bahawa, diri mereka di atas prinsip rasional. Oleh itu, golongan kaya sangat sukar untuk mentaati peraturan kerana menganggap diri mereka mempunyai kelebihan yang tidak perlu mengikat diri mereka kepada peraturan yang ada.

Manakala golongan miskin pula dikatakan sebagai sukar untuk mengikuti prinsip rasional dan peraturan kerana pemikiran mereka dianggap singkat dan terhad.

Yang demikian, ideal komposisi sosial yang paling baik adalah golongan pertengahan, kerana golongan pertengahan lebih mudah untuk menyesuaikan diri kepada prinsip rasional. Justeru, golongan yang boleh diharap dalam mentaati gugusan peraturan adalah golongan pertengahan.

Sehubungan itu, Aristotle percaya bahawa, negara demokrasi lebih baik dari negara oligarki kerana disebabkan oleh faktor kehadiran golongan pertengahan jika lebih ramai dalam negara demokrasi. Tetapi, jika golongan menengah tidak bersifat dominan berbanding golongan miskin, maka negara ada kemungkinan untuk jatuh ke lembah kekacauan, bahkan negara mungkin akan berakhir.

Lantaran itu, maka dalam konteks bangsa-negara Sabah semenjak 1976 hingga kini, pada dasarnya status negara Sabah yang ditubuhkan pada 20 Mei 1882 sudah hancur dan berakhir untuk menjadi negeri ke-12 Malaya atas nama Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963.

5.    Gagasan Malaysia Di Persada Sejarah

Sesungguhnya negara-negara (Sabah, Sarawak dan Malaya) yang membentuk Malaysia mempunyai akar dalam apa yang disebut sejarah. Sejarah menurut Herodotus adalah kesan tindakan manusia; sejarah menurut Ibn Khaldun adalah cerita tentang tindakan manusia; dan saya percaya bahawa sejarah adalah sarjana agung dalam kehidupan yang tidak pernah berbohong kerana sejarah adalah lidah kebenaran.

Apapun, Sabah, Sarawak dan Malaya dalam lintasan sejarah moden telah ditubuhkan menjadi sebuah negara yang wujud sistem pemerintahan sendiri yang tiada kaitan sebelum bergabung pada 16 September 1963 atas nama Malaysia:

Sarawak ditubuhkan pada 24 September 1841 dan telah dimerdekakan oleh United Kingdom pada 22 Julai 1963; Sabah pula ditubuhkan pada 20 Mei 1882 dan telah dimerdekakan oleh United Kingdom pada 31 Ogos 1963; dan Malaya ditubuhkan pada 31 Januari 1948 dan telah dimerdekakan oleh United Kingdom pada 31 Ogos 1957.

Lantas, ketiga-ketiga negara yang merdeka ini telah bergabung dalam ‘Gagasan Malaysia’ berdasarkan kepada terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian 18/20 Perkara di antara Sabah, Sarawak dan Malaya serta Perjanjian Berkenaan Dengan Penubuhan Malaysia 1963 yang dimuktamadkan pada 16 September 1963.

6.    Visi, Misi Dan Objektif Gagasan Malaysia

VISI : Mewujudkan satu bentuk penyatuan ekonomi dan politik yang melibatkan Malaya, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.

MISI : Mewujudkan kerjasama antara penduduk Malaya, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak dengan kerajaan British dalam menjayakan pembentukan gagasan politik baru di Asia Tenggara.

OBJEKTIF : Menyekat pengaruh komunis; mengimbangi jumlah penduduk; meningkatkan kemajuan ekonomi; mempercepat kemerdekaan Borneo dan Singapura; dan menjaga kepentingan kaum penduduk asal (bumiputera).

7.    Kesabaran Sabah Sarawak Di Batas Akhir

Dalam sejarah, Gagasan Malaysia dibentuk melalui kuasa pujuk rayu Malaya dalam suatu proses yang panjang. Namun, sesudah Sabah Sarawak masuk “bubu Malaya” lantas kuasa gertak dan sentimen agama diangkat dan dimainkan untuk memecahkan penduduk Borneo khususnya rakyat Sabah sehingga terbelah kepada dua blok ideologi besar dalam konteks Islam dan Kristian yang secara terang-terangan melanggar dan mencabul terma dan syarat perjanjian 18/20 Perkara di antara Sabah, Sarawak dan Malaya.

Oleh itu, demi maruah nenek moyang, harga diri Sabah Sarawak dan generasi yang akan datang keduanya, maka kesabaran Sabahan Sarawakian kini di batas akhir untuk bangun melindungi “kedudukan, hak dan masa depan” dalam Malaysia untuk melawan balik serangan kejam penindasan politik dan ekonomi oleh Malaya ke atas rakyat Sabah Sarawak disebalik topeng Malaysia.

Sesungguhnya sikap dan tindakan Malaya dalam melanggar, mencabul, mengkhianati dan memijak “Perjanjian 18/20 Perkara dan Malaysia Agreement 1963” yang menjadi terma dan syarat kepada penubuhan Malaysia atau pengwujudan Malaysia seolah-olah Malaya bukan lagi rakan kongsi Sabah Sarawak yang setara atau sama taraf dalam Malaysia, melainkan penjajah, penindas dan perompak kepada Sabah Sarawak atas nama Malaysia!

Pecutan penduduk Sabah yang tidak masuk akal contohnya, yang juga dikaitkan dengan IC Projek Malaya kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) untuk menjadi melayu baru, di samping senario keputusan RCI yang masih tidak didedahkan telah meletakkan rakyat Sabah pada posisi semangat nasionalisme tinggi lantaran mengambil kira masa depan generasi mereka di masa hadapan. Dalam erti kata lain, bukan hanya kaum melayu Malaya yang perlu hidup, tetapi rakyat Sabah Sarawak juga perlu hidup.

Dengan kata lain, sesungguhnya pelanggaran Malaya terhadap 18/20 Perkara dan Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 akan melahirkan tindak balas Sabah Sarawak untuk tidak mahu berputih mata kepada Malaya demi “kebenaran sejarah, hak ekonomi, status negara dan masa depan” Sabah Sarawak dalam Malaysia.

Malaya mungkin inginkan Sabah Sarawak berputih mata sesudah bersetuju bergabung dengannya atas nama Malaysia, tetapi ingat, putih mata bukan prinsip aspirasi penubuhan Malaysia dalam erti kata visi, misi dan objektif pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Bahkan, pembentukan Malaysia lebih kepada membantu meyelesaikan masalah peribadi Malaya atas nama Malaysia khususnya yang berhubung dengan perseimbangan kaum. Namun, pertolongan Sabah Sarawak dibalas dengan konsep penaklukan oleh Malaya atas nama Malaysia tanpa pengisytiharan penjajahan sejak lebih setengah abad yang lalu.

Dengan kata lain, sudah lebih setengah abad Sabah Sarawak sabar dan tabah hidup dalam penindasan Malaya dalam bidang politik dan ekonomi sehingga walaupun kaya dan banyak hasil, namun termiskin dalam Malaysia ‘bak tikus mati di lumbung padi, bak ayam di kepuk mati kelaparan dan bak itik di air mati kehausan’.

Sesungguhnya Sabahan hari ini adalah monumen bagi Sabahan masa silam; dan Sabahan di hari esok adalah monumen bagi Sabahan hari ini. Justeru, Sabahan hari ini mesti bersatu menggilap monumen harapan Sabahan masa silam agar dapat dihantar kepada generasi Sabahan yang akan datang dengan selamat.

Sehubungan itu, maka cabaran terbesar nasionalis Sabahan hari ini adalah mendepani pengkhianatan terkutuk regim Malaya dalam konteks pemberian jutaan IC Projek kepada PTI menjadi "melayu baru" dalam erti kata menjual maruah kedaulatan kemerdekaan Sabah kepada PTI untuk kepentingan Malaya dalam menjajah, menindas dan merompak sabah.

Yang demikian, seluruh Sabahan mesti serius dan dedikasi bangun berdiri dan seiring melangkah dengan sederap rentak dalam erti kata bersatu melaungkan semboyan menuntut Malaya dan dunia agar semua PTI yang menjadi Pendatang Asing Tapi Ada IC (PATAI) dihantar ke Malaya kerana secara benarnya mereka adalah warganegara Malaya di Sabah yang taat setia kepada Malaya dan ingin bertuankan Malaya.

8.    PUDI Jalan Mati Borneonisasi

Tatkala Malaya sudah menganggap atau berlagak dirinya Malaysia, dan mengatasnamakan kerajaan Pusat Dan Integrasi nasional (PUDI) sebagai penanda halal kepada semua tindakannya dalam merompak dan merampas secara besar-besaran hak Sabah Sarawak dalam Borneonisasi yang terkandung dalam perjanjian 18/20 Perkara, maka buta-buta saja Sabah Sarawak kehilangan segala-galanya kepada Malaya.

Yang demikian, PUDI adalah jalan mati Borneonisasi sehingga Sabahan dan Sarawakian terpaksa menyembah dan mengemis kepada Malaya untuk mendapatkan sedikit sisa dari saki-baki jawatan rendah yang terdapat di dalam jabatan-jabatan dan lembaga-lembaga kerajaan yang pada hakikatnya adalah hak milik Sabah Sarawak dalam konteks Borneonisasi.

Justeru, sesungguhnya pencerobohan dan pencabulan Malaya terhadap maruah kemerdekaan Sabah Sarawak tidak akan meninggalkan memori manis, selain memori pahit buat Sabahan dan Sarawakian pada masa hadapan. Lantaran itu, bagi generasi Sabahan dan Sarawakian untuk beribu-ribu tahun dalam perjalanan abad di masa akan datang, tiada seorang pun daripada kita pada masa ini, yang akan tahu nasib sedih yang akan menimpa mereka, kerana kita tidak akan bertemu dengan mereka untuk menyaksikan kehidupan mereka.

Oleh itu, seluruh Sabahan dan Sarawakian hari ini yang masih hidup wajar membuktikan diri sebagai seorang pejuang untuk memori pengorbanan dalam memegang impian dan harapan manis kewujudan generasi bangsa-negara Sabah Sarawak di masa yang akan datang di dunia ini.

Sesungguhnya Sabahan dan Sarawakian sudah kehilangan satu generasi yang tidak dapat menikmati erti sebenar kedaulatan kemerdekaan akibat penilaian yang koyak daripada keputusan yang dicapai dalam pandora mentaliti hamba angkara aspirasi abadi ingin bertuankan Malaya yang begitu jauh tersasar dan terbabas dari landasan visi, misi dan objektif penubuhan Malaysia sehingga maruah Sabah Sarawak akhirnya terkorban di muara penghinaan suram dalam sejarah yang dipalsukan.

Kebangkitan Karma Kesedaran,
Kekuatan Karma Kesatuan,
Rakyat Seborneo Bersatulah!

- Naspazi (12 September, 2014)

Post a Comment

Author Name

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} YOUR_PROFILE_DESCRIPTION {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.