Salam Sejahtera, Salam Hormat dan Salam Perpaduan untuk Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), yang kini sudah berdaftar secara SAH sebagai sebuah NGO dengan nama Sabah Sarawak Union (SSU-UK) dibawah bidang kuasa perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan kenyataan Datuk Syed Abas Ali tentang Larangan Penggunaan "Perpisahan (Secession)" didalam sidang Dewan Undangan Sabah.

Didalam kenyataannya di Daily Express Online yang bertarikh 11 Ogos 2015, mengatakan bahawa dia akan memberikan amaran untuk tidak membenarkan perkataan "Perpisahan (Secession)" dibangkitkan didalam Dewan Undangan (DUN) Sabah [1]. Walau bagaimanapun, dia memberitahu bahawa jika perkara ini dibincangkan diluar, ia adalah diluar kawalannya [2]. Selain itu, Syed Abas mengatakan yang dia hanya boleh melarang penggunaan perkataan tersebut didalam sidang DUN sahaja kerana ingin wakil rakyat untuk memfokuskan kepada pembangunan. Sabah adalah sebuah "negeri" yang besar dan memerlukan kewangan untuk jalan-raya, bekalan air dan infrastruktur yang lain. Sedangkan beberapa daerah disini lebih besar daripada negeri-negeri di semenanjung. Jadi, ini adalah perkara yang saya harap wakil bangkitkan [3]. Dia juga telah memberikan pembayang dengan mengatakan bahawa mereka seharusnya tidak memikirkan satu pokok sahaja tetapi semua pokok-pokok didalam hutan. Justeru, berharap mendapat kerjasama daripada wakil rakyat dikedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang [4].

***Artikel Daily Express Online tersebut adalah didalam bahasa Ingggeris tetapi telah diterjemahkan dengan maksud yang sama untuk tujuan penyampaian maklumat***

Pertama [1], Dewan Undangan Negeri (Negara) Sabah merupakan satu platform perdebatan yang kebal daripada sebarang tindakan undang-undang. Ia adalah tempat membincangkan, membahaskan dan mendebatkan isu-isu semasa samada isu ringan, berat mahupun sensitif. DUN Sabah juga memainkan peranan dalam menentukan halatuju kerajaan melalui polisi dan dasar yang akan diluluskan. Segala yang berlaku di bumi Sabah adalah dibawah kuasa DUN Sabah untuk menentukan tindakan yang perlu diambil seterusnya. Perancangan tindakan yang ingin diambil oleh Syed Abas Ali untuk melarang penggunaan perkataan "Perpisahan (Seccession)" adalah satu idea atau perancangan yang perlu dikecam sekeras-kerasnya. Ini kerana didalam 20 Perkara, Perkara 7 jelas mencatatkan perkara tersebut. Dengan tidak membincangkan perkara ini, adakah Ketua Dewan Speaker baru ini yang juga merupakan ahli umno ingin menyampaikan satu mesej halus untuk menafikan kewujudan 20 Perkara? Apakah dengan keinginannya untuk melarang perkataan ini digunakan dan dibangkitkan secara tidak langsung mahu mendiamkan peranan 20 Perkara Sabah yang selama ini menjadi rujukan kepada Pentadbiran Kerajaan Negara Sabah?

Kedua [2], Samada isu ini dibincangkan didalam DUN ataupun diluar, itu adalah hak rakyat dan juga wakil pemimpin yang dipilih semasa pilihan-raya. Tugas seorang Dewan Speaker adalah untuk mengawasi persidangan supaya berjalan dengan lancar, mengatur debat supaya tidak menyimpang daripada isu-isu yang dibahaskan, membuat keputusan mengenai aturan urusan mesyuarat sekiranya berlaku perbalahan serta memeriksa samada petisyen, rang dan pindaan perlembagaan boleh diterima ataupun tidak. Tugas Dewan Speaker bukan untuk membuat peraturan sendiri tetapi lebih kepada menjadi orang perantaraan (orang tengah) kepada dua pihak yang sedang berdebat dan berbahas iaitu daripada pihak kerajaan dan pembangkang. Anda sendiri mengakui bahawa anda adalah orang yang masih baru didalam bidang ini. Maka, janganlah berlagak hebat dengan melarang perkara-perkara seperti ini dibangkitkan. Itu adalah hak dan tanggungjawab ahli-ahli DUN Sabah untuk membangkitkan apa-apa isu yang sedang hangat diperbualkan atau dibincangkan di negara Sabah dan disampaikan ke dalam DUN untuk memperhalusikan faktor-faktor perbualan ini berlaku, mengkaji punca, merancang penyelesaian dan menilai keberkesanan penyelesaian yang telah dilakukan. 

Ketiga [3], Anda telah memberikan justifikasi kepada keinginan larangan anda namun ia adalah pandangan peribadi yang sangat bertentangan dengan tugas dan peranan sebagai seorang Dewan Speaker. Selama umno-bn Sabah memerintah Kerajaan Negara Sabah setelah berjaya menumbangkan Kerajaan PBS pada tahun 1994 melalui cara yang kotor, mengapa tidak pernah isu seperti pembangunan infrastruktur seperti jalan-raya, bekalan air dan sebagainya selesai? Ditempat kawasan DUN anda sendiri, apakah selama anda menjadi wakil rakyat bn-umno, terdapat pembangunan yang boleh dibanggakan? Tanya kepada diri anda sendiri, apakah puncanya? Saya pasti anda mampu menjawabnya dengan lebih baik berbanding dengan mana-mana pihak. Apabila perkara seperti isu pembangunan ini tidak menemui jalan penyelesaian yang tepat, ia adalah disebabkan oleh ahli-ahli DUN Sabah tidak pernah berusaha untuk menyelesaikan punca yang sebenar. Apakah punca sebenarnya? Sumber kewangan dan pembangunan Kerajaan Negara Sabah berada didalam genggaman Kerajaan Persekutuan. Ini adalah puncanya. Atas sebab faktor ini, peruntukan tahunan tidak pernah mencukupi untuk negara Sabah kerana peruntukan yang disalurkan itu tidak pernah selari dengan keperluan kos pembangunan. Negara Sabah menjana kewangan berpuluh bilion ringgit namun hanya mendapat satu jumlah yang sangat kecil. Adakah anda ingin menafikan perkara ini? Ingin menjadi seperti musa yang berbangga dengan segala sumbangan kerajaan persekutuan yang hanya beratus-ratus juta sahaja walhal itu adalah hasil duit negara Sabah sendiri? Jikalau anda tetap menafikannya dan berkeras bahawa peruntukan diberikan sangat mencukupi selama ini, maka punca kepada permasalahan ini adalah disebabkan oleh pentadbiran dibawah kerajaan umno-bn telah gagal didalam membuat pengagihan peruntukkan dengan betul. Atau adakah kemunduran pembangunan ini bersangkut paut dengan kekayaan yang dimiliki oleh ahli-ahli wakil bn-umno Sabah?

Keempat [4], Perumpamaan ataupun bayangan yang anda berikan itu sebenarnya merupakan satu punca kepada permasalahan Kerajaan Negara Sabah dari dahulu sehingga sekarang. Ia umpama seperti sebuah keluarga. Anda sanggup membelakangkan kepentingan keluarga semata-mata mahu menjaga kepentingan orang luar. Dimanakah logik pemikiran anda itu? Walaupun terdapat nilai kebaikan didalam perumpamaan atau bayangan anda itu, namun ia tidak sesuai dipraktikan oleh Kerajaan Negara Sabah lebih-lebih lagi  didalam keadaan seperti sekarang ini. Kepentingan seharusnya diberikan sepenuhnya kepada Kerajaan Negara Sabah terlebih dahulu. Setelah isu dan permasalahan dalaman Kerajaan Negara Sabah selesai, barulah Kerajaan Negara Sabah boleh memfokuskan kepada isu luar. Ketika pihak pembangkang membawa usul untuk penambahbaikan jentera Kerajaan dan cadangan penyelesaian kepada isu-isu Negara Sabah, dimanakah suara anda untuk menyokong usul tersebut? Anda diam dan mengkritik mereka. Tetapi apabila dilantik menjadi Dewan Speaker, anda kini mengimpikan perkara tersebut? Jikalau anda ikhlas terhadap perubahan yang ingin dibawakan didalam DUN Sabah, buktikan melalui keadilan dalam mengendalikan isu-isu yang dibangkitkan termasuk dengan isu "Perpisahan (Secession)". Ia adalah tanggungjawab anda untuk menyelesaikan secara professional dan matang agar isu ini menemui jalan penyelesaian yang tepat dan bukan melarang  daripada isu ini dibangkitkan.

Pihak kami sentiasa mengikuti perkembagan perjalanan politik Negara Sabah dan Negara Sarawak serta Malaya. Pemerhatian dan kajian dalam aspek pentadbiran politik dan negara diperingkat antarabangsa juga dilakukan oleh pihak kami untuk memahami permasalahan yang dihadapi oleh Kerajaan Negara Sabah dan Kerajaan Negara Sarawak. 

Akhir kata, ingin saya kongsikan satu cerita yang benar berlaku diluar negara. Seorang pemimpin daripada negara luar telah berjaya membawa pembangunan pesat kepada negaranya dibawah pentadbiran parti politiknya. Apabila ditanya tentang bagaimana beliau mampu membawa pembangunan pesat sejak mengambil-alih pentadbiran negara itu, beliau menjawab dengan satu jawapan yang ringkas, "saya tidak mengambil duit rakyat".

In Sovereignty We Breathe, In Unity We Believe
Pergo Et Perago - Dum Spiro Spero

Doris Jones

Post a Comment

Author Name

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} YOUR_PROFILE_DESCRIPTION {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.