Salam sejahtera, salam hormat dan salam berjuang kepada semua bangsa negara Sabah dan bangsa negara Sarawak. Saya Doris Jones, mewakili kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) dan kini sudah berdaftar secara SAH dibawah bidang kuasa perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) dengan nama Sabah Sarawak Union (SSU-UK) ingin membuat satu kenyataan rasmi berhubung dengan Hubungkait status Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan Kerajaan Malaysia.

Tujuan kenyataan rasmi ini dibuat adalah untuk membuat pendedahan sebenar yang selama ini telah disembunyikan daripada pengetahuan orang awam termasuk anda semua bahawa Malaya itu sebenarnya adalah Malaysia dan Malaysia itu adalah Malaya.

Mengapakah pendedahan ini perlu dilakukan? Ini kerana selama ini pemimpin-pemimpin dan rakyat dari negara Sabah dan negara Sarawak telah diberikan jaminan dan janji bahawa pada 16 September 1963, sebuah kerajaan baru akan terbentuk yang dianggotai oleh Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya. Namun, apa yang berlaku disebaliknya dan ia adalah sangat mendukacitakan. 

Untuk mengetahui perkara yang sebenar ini, pihak kami telah memadatkan secara ringkas maklumat-maklumat yang sangat penting melalui kenyataan rasmi ini agar semua pihak mampu memahaminya dengan mudah dan jelas.

Untuk menyokong kenyataan bahawa Malaya itu adalah Malaysia dan Malaysia itu adalah Malaya, bukti-bukti yang nyata, jelas dan berfakta mesti diberikan untuk dijadikan rujukan kepada semua pihak agar dapat memahami, menilai dan memutuskan sama ada kenyataan ini adalah berupa "Hasutan", "Penipuan" ataupun "Kebenaran berfakta dan sahih". Oleh itu, pihak kami telah menyediakan segala bukti-bukti untuk menyokong pendedahan ini sepenuhnya.

Selama ini pemimpin-pemimpin Borneo yang terdahulu telah menimbulkan persoalan tentang identiti sebenar Malaysia melalui persoalan seperti ini, "adakah Malaysia ini sebenarnya Malaya yang hanya berubah nama?" Persoalan ini telah timbul sejak tahun 1960an lagi dan kini, persoalan ini bakal dijawab dengan rasminya. Pihak SSKM-SSU(UK) akan memberikan noktah (penamat) kepada persoalan ini dengan berserta bukti berfakta yang kukuh.

Disini, pihak kami mengetengahkan empat (4) bukti untuk menyokong hujah kenyataan kami. Bukti-bukti tersebut adalah seperti didalam gambar rajah dibawah.

BUKTI PERTAMA: DEFINISI "PERSEKUTUAN" MENGIKUT TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA, SABAH DAN SARAWAK.

Seorang pengkaji bebas yang berasal daripada Negara Sabah, iaitu En.Zainnal Ajamain telah memainkan peranan yang sangat penting didalam membongkarkan rahsia persoalan ini dengan memberikan bukti tersebut melalui definisi "Persekutuan" didalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, pada Artikel 160 (2).

(seorang Journalis Bebas yang bernama En. Joe Fernandez menafikan peranan En. Zainnal didalam penemuan definisi tersebut kerana menurut beliau, dialah yang telah mendedahkan perkara ini kepada En.Zainnal Ajamain)

Definisi tersebut adalah seperti berikut;

"The Federation" means the Federation established under the Federation of Malaya Agreement 1957.

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

"Persekutuan" bererti Persekutuan yang ditubuhkan dibawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 1957.

(Anda semua perlu tahu bahawa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 1957 adalah kesinambungan daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948).

Selain itu juga, terdapat perbezaan interpretasi (penafsiran) yang jelas tentang maksud "Persekutuan" apabila merujuk kepada Perlembagaan Negara Sabah dan Perlembagaan Negara Sarawak.

Sila lihat pada Part V, General Provision, 46 (Interpretation) untuk Perlembagaan Negara Sabah dan Part V, General Provision, 44 (Interpretation) Perlembagaan Negara Sarawak.

Interpretasi "Persekutuan" adalah seperti berikut;

"the Federation" means the Federation to be known, on and after Malaysia Day, by the name Malaysia.

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

"Persekutuan" bererti Persekutuan yang dikenali, pada dan selepas Hari Malaysia, dengan nama Malaysia.

Tapi benarkah ia berbeza? Mari kita kupas lagi akan perkara ini.

Definisi "Persekutuan" ini akan membawa kita kepada pembongkaran yang lebih jelas walau bagaimanapun, ia sangat mengelirukan jikalau tidak memahaminya dari awal.

Didalam Perlembagaan Persekutuan, terdapat keganjilan yang berlaku iaitu Perlembagaan tertinggi negara ini tidak mempunyai tafsiran bagi "Malaysia Day".

Tafsiran "Malaysia Day" HANYA terdapat didalam Perlembagaan Negara Sabah dan Negara Sarawak. 

Untuk Perlembagaan Negara Sabah, ia adalah seperti berikut;

"Malaysia Day" means the day referred to as Malaysia Day in the Malaysia Act

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

"Hari Malaysia" bererti hari yang dirujuk sebagai Hari Malaysia didalam Akta Malaysia.

Manakala untuk Perlembagaan Negara Sarawak, ia adalah seperti berikut;

"Malaysia Day" means the day referred to as Malaysia Day in the Malaysia Act of the Federation.

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

"Hari Malaysia" bererti hari yang dirujuk sebagai Hari Malaysia didalam Akta Malaysia Persekutuan.

Didalam Akta Malaysia, definisi bagi "Persekutuan" adalah seperti berikut;

"the Federation" means the Federation called Malaysia after the federation of the new States with States forming the Federation of Malaya.

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

"Persekutuan" bererti Persekutuan yang dipanggil Malaysia selepas Persekutuan negara-negara baru dengan negara-negara yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).


Dalam erti kata lain, definisi "Malaysia Day" didalam Akta Malaysia adalah merujuk kepada Artikel I didalam Perjanjian Malaysia.
 Untuk melihat lebih jelas lagi, sila rujuk kepada gambar dibawah ini.

Seperti yang telah diterangkan diatas dan juga melalui bantuan gambar, didalam Akta Malaysia (Malaysia Act), Malaysia adalah nama bagi Persekutuan yang dibentuk pada 16 September 1963. Pada tarikh ini jugalah Perlembagaan negara Sabah dan negara Sarawak berkuatkuasa serta-merta dan muncul sebagai sebuah Kerajaan yang mempunyai kuasa Perlembagaan dan Kerajaannya. 

Rumusan untuk Bukti Pertama ini ialah terdapat percanggahan definisi tentang erti maksud "Persekutuan". Tetapi sejauh manakah percanggahan itu wujud? Adakah benar ia saling bercanggah antara satu sama yang lain? 

Apa yang dapat kita faham daripada Bukti Pertama ini ialah definisi "Persekutuan" menurut Perlembagaan Persekutuan adalah "Persekutuan" yang dibentuk dibawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 1957 dan bukan berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963. Namun, persoalan yang benar-benar perlu dijawab ialah adakah definisi "Persekutuan" didalam Perlembagaan negara Sabah dan Perlembagaan negara Sarawak sebenarnya merujuk kepada definisi Perlembagaan Persekutuan Malaysia? Jawapan ini hanya dapat dirungkaikan selengkapnya dengan merujuk kepada Bukti Ketiga. Sebelum itu, mari kita beralih dahulu kepada Bukti Kedua.

BUKTI KEDUA: PENENTANGAN KERAJAAN KELANTAN TERHADAP KERAJAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (MALAYA)

16 September 1963 merupakan tarikh keramat bagi Kerajaan Negara Sabah dan Kerajaan Negara Sarawak kerana pada tarikh inilah negara-negara Borneo bersama-sama dengan Kerajaan Negara Singapura serta Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) membentuk Kerajaan Persekutuan yang dipanggil "Malaysia". Pada tarikh ini jugalah kuasa kedaulatan dan kemerdekaan telah diamanahkan kepada "Kerajaan Malaysia" oleh Kerajaan British.

Persoalannya, mengapa kuasa kemerdekaan dan kuasa kedaulatan diamanahkan kepada Kerajaan Malaysia dan bukan kepada Kerajaan Negara Sabah, Kerajaan Negara Sarawak dan Kerajaan Negara Singapura? Persoalan ini akan dijawab pada Bukti Ketiga.

Bukti kedua ini akan memberikan pencerahan dan penjelasan hasil daripada kesinambungan Bukti Pertama untuk menguatkan kefahaman anda tentang "benarkah Malaya itu adalah Malaysia?"

Apabila sebuah "Kerajaan Persekutuan" yang dikenali sebagai "Malaysia" ini hampir dibentuk, tiba-tiba Kerajaan Kelantan telah menentang niat dan usaha Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Kerajaan Kelantan telah memfailkan saman sebagai tanda membantah pembentukkan Malaysia pada 10 September 1963 (6 hari sebelum peristiharan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963) atas beberapa alasan, iaitu:
  1. Akta Malaysia 1963 akan melanggari Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 1957 dengan memansuhkan Persekutuan Tanah Melayu.
  2. Sebarang cadangan untuk membuat pemindahan memerlukan kebenaran setiap negeri (negeri-negeri tanah melayu) termasuk Kelantan, dan ini tidak diperolehi.
  3. Sultan Kelantan sepatutnya menjadi salah seorang penandatangan Perjanjian Malaysia.
  4. Sebarang pindaan terhadap perlembagaan dalam Konvensyen Perlembagaan ditentukan melalui perundingan dengan pemerintah-pemerintah negeri.
  5. Parlimen Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang untuk Kelantan dalam perkara-perkara yang Kerajaan Kelantan boleh menggubalnya sendiri.
Jawapan kepada bantahan Kerajaan Kelantan ini kemudiannya dipatahkan oleh Ketua Hakim Negara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada waktu itu, James Thomson (Chief Justice) 30 jam sebelum Persekutuan Malaysia diistiharkan (15th September 1963) dengan beberapa hujah iaitu:
  1. Walaupun jika Kelantan merupakan negeri yang berdaulat dahulu sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 1957, kesan kepada perjanjian tersebut adalah sebahagian besar kuasa-kuasa yang membentuk Kedaulatan telah diluluskan oleh Kerajaan Kelantan kepada Persekutuan.
  2. Kuasa-kuasa ini adalah terhad dan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 yang membentuk sebahagian daripada perjanjian itu. Makhamah juga mendapati bahawa Akta Malaysia dalam meminda perlembagaan untuk menerima kemasukan "negeri-negeri (negara-negara)" dan menukar nama kepada "Malaysia" tidak bercanggah dengan kehendak perlembagaan.
  3. Dan jika langkah-langkah yang telah diambil adalah dalam keadaan yang sah, maka sudah tentu hasilnya tidak dapat menjadikan mereka menyalahi undang-undang.
  4. Apa yang kini dikenali sebagai "Struktur Doktrin Asas" yang menetapkan bahawa pindaan perlembagaan boleh diistiharkan oleh makhamah sebagai tidak sah hanya jikalau ia memusnahkan struktur asas perlembagaan.
  5. Oleh itu, Makhamah perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan bahawa struktur asas tidak dibongkarkan. Ia adalah dalam fungsi mereka untuk mentafsirkan perlembagan dan menentukan apakah ciri-ciri asas mereka.
Didalam Bukti Kedua ini, ia menjelaskan bahawa Perjanjian Malaysia yang telah ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin malaya yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman tidak menjejaskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang telah ditandatangani pada 5 Ogos 1957. Ini kerana Perjanjian Malaysia yang telah ditandangani pada 9 Julai 1963 di London tidak mengubah "Struktur Doktrin Asas" Perlembagaan Persekutuan yang wujud untuk Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

Ini juga bermaksud, Persekutuan yang dibentuk ini dengan nama baru "Malaysia" pada 16 September 1963 sebenarnya bukanlah sebuah "Persekutuan Baru" ataupun "Kerajaan Baru" tetapi adalah nama baru bagi Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang kononnya telah menerima kemasukkan tiga buah negara (wilayah) baru kedalam Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Dalam ertikata lain, ia menampakkan seolah-olah North Borneo (kini dipanggil Sabah), Sarawak dan Singapura "menyertai ataupun memohon" untuk menjadi "anggota" ataupun "ahli" didalam Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Ini sebenarnya adalah bertentangan sepenuhnya dengan keinginan Bangsa Negara North Borneo (kini dipanggil Sabah), Negara Sarawak dan Negara Singapura yang mahukan sebuah "Persekutuan Baru" dengan nama "Malaysia", yang menghasilkan "Persekutuan" daripada empat buah negara sebagai rakan kongsi sama taraf dengan malaya. Namun, keadaan berlaku disebaliknya pula.

Untuk menguatkan lagi Bukti Kedua ini bahawa Malaya itu adalah sebenarnya Malaysia, mari kita beralih kepada Bukti Ketiga yang sebenarnya ditunggu-tunggu.

BUKTI KETIGA: KEAHLIAN MALAYA DIDALAM UNITED NATIONS (UN)

Tahukah anda bahawa pada tarikh 16 September 1963, disaat deklarasi pembentukkan "Malaysia" diistiharkan di Padang Merdeka Negara Sabah, Negara Sarawak dan Stadium Merdeka Malaya, pada hari tersebut jugalah malaya telah menghantar wakil Kerajaan mereka iaitu Yoke Lin Ong (Ong Yoke Lin) untuk menyampaikan surat pemberitahuan kepada United Nations (UN) bahawa "Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)" telah menukarkan namanya kepada "Malaysia" berserta dengan pindaan perlembagaan yang membolehkan penyertaan tiga negara baru iaitu North Borneo (kini dikenali sebagai Sabah), Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu (Malaya). Pindahan perlembagaan ini juga tidak mengubah identiti asal Malaya yang telah menyertai UN pada 17 September 1957

 Apa yang berubah hanyalah sempadan antarabangsa sahaja yang telah menjadi lebih besar daripada sebelumnya tetapi masih mengekalkan identiti asal sebagai Malaya didalam keahlian keanggotaan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bukti ini dapat dilihat melalui surat pemberitahuan yang telah tercatat didalam "United Nation Juridical Yearbook 1963". Sila Download Lampiran United Nations Juridical Yearbook 1963.

On 16 September 1963 the Secretary-General received a letter from H. E. Dato' Ong Yoke Lin, who was accredited to the United Nations as Permanent Representative of the Federation of Malaya, notifying him that by the constitutional process of amendment the name of the "Federation of Malaya" had been changed to Malaysia. While not dealt with in this letter, the change of name had been accompanied by the addition of Singapore, Sabah (North Borneo) and Sarawak to the Federation of Malaya. Changes in the Constitution of the Federation of Malaya were also made "so as to provide for the admission of those States and for matters connected therewith" (Preamble to Malaysia Bill).

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

Pada 16 September 1963, Setiausaha Agung telah menerima satu surat daripada H.E.Dato' Ong Yoke Lin, yang telah ditugaskan ke Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Perwakilan Tetap Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), untuk memberitahunya bahawa dengan proses penggubalan perlembagaan, nama Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) telah ditukar kepada Malaysia. Dengan tidak membincangkan perkara tersebut didalam surat ini, perubahan nama tersebut telah disertakan dengan penambahan Singapura, Sabah (North Borneo) dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Pindahan didalam Persekutuan Tanah Melayu juga telah dilakukan "untuk membolehkan kemasukan negara-negara tersebut dan yang berkaitan bersamanya" (Pengenalan awal kepada Bil Malaysia).

Dalam ertikata lain, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) itu sebenarnya masih wujud lagi sehingga sekarang dan pihak antarabangsa mengenali kewujudan Malaya dengan nama "Malaysia". Apa yang sebenarnya menjadi isu serius disini ialah selama ini pemimpin-pemimpin negara Borneo daripada negara Sabah dan negara Sarawak diberitahu bahawa mereka akan dan membentuk "Persekutuan Baru" dengan memiliki "Perlembagaan Baru". Namun, penggunaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada peringkat awal dijadikan sebagai asas kepada Perlembagaan Malaysia adalah bertujuan untuk memudahkan pembentukkan kerajaan baru ini tanpa perlu bersusah-payah. Ternyata selepas terbentuknya Malaysia selepas beberapa tahun kemudian, pemimpin malaya iaitu Tunku Abdul Rahman enggan ataupun tidak mahu membuat Perlembagaan baru. Persoalan kepada keengganan Tunku Abdul Rahman ini telah terjawab melalui Bukti Ketiga ini.

Selain itu juga, pemimpin-pemimpin Borneo tidak pernah diberitahu tentang perkara yang sebenar ini kerana kematangan politik yang masih mentah serta latar belakang pendidikan yang jauh berbanding dengan pemimpin-pemimpin malaya telah menjadi faktor kepada manipulasi dan penipuan yang didalangi oleh pemimpin-pemimpin malaya terhadap pemimpin-pemimpin Borneo.

Pemimpin-pemimpin Borneo hanya mula menyedari akan perkara ini setelah Singapura menarik diri pada tahun 1965 daripada Malaysia dan krisis perlembagaan di negara Sarawak tercetus pada tahun 1966.

Pemimpin-pemimpin malaya tidak pernah berlaku jujur terhadap pemimpin-pemimpin Borneo dan bangsa Borneo. Ini jelas dapat dilihat sehingga ke hari ini. Apa yang mereka lakukan adalah semata-mata untuk kepentingan politik dan kerajaan mereka sahaja. Penentangan daripada Indonesia yang mengatakan bahawa pembentukan Malaysia ini adalah sebenarnya satu bentuk penjajahan di alaf baru ternyata benar.

Ini kerana negara Sabah dan negara Sarawak tidak memiliki Kuasa Kedaulatan dan Kemerdekaan yang sebenar. Ini disebabkan kuasa tersebut telah dipindahkan dari London ke Kuala Lumpur secara rasmi pada 16 September 1963.

Maka, untuk menjawab persoalan yang timbul dalam Bukti Pertama, jawapannya ialah Malaysia Day yang dirayakan pada 16 September 1963 itu sebenarnya merupakan Hari bagi Negara Sabah, Negara Sarawak dan Negara Singapura "menyertai" Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) tanpa disedari oleh mereka. Untuk lebih tepat lagi, 16 September 1963 sebenarnya adalah Hari bermulanya Penjajahan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) keatas negara Sabah, negara Sarawak dan negara Singapura secara rasmi yang bertopengkan "Malaysia".

Inilah yang menyebabkan pihak SSKM-SSU(UK) menjadikan 16 September sebagai "Black 16 September" sebagai simbolik kepada Penjajahan Malaya yang bertopengkan Malaysia keatas negara Sabah dan negara Sarawak. 

Atas kesedaran ini, satu kumpulan dari negara Sarawak telah mewujudkan sebuah kumpulan dengan nama 916 Occupation Day yang dipimpin oleh Pn.Lina Soo, seorang aktivis yang mendedikasikan dirinya kepada Perjuangan Memerdekakan Negara Sarawak daripada cengkaman penjajahan Malaya yang bertopengkan Malaysia.

Segala perbincangan awal untuk mewujudkan "Persekutuan Baru" sebelum 16 September 1963 itu sebenarnya hanyalah satu omongan kosong oleh pemimpin-pemimpin malaya dan British yang bertujuan untuk sekadar mendapatkan keyakinan dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin Borneo. Ia dilakukan dengan penipuan yang menjijikan.

Ini juga dapat dibuktikan apabila sikap dan perjuangan Tun Fuad Stephens yang pada mulanya menentang penyertaan North Borneo dalam pembentukan Malaysia ini telah bertukar kepada Pro Malaysia setelah diberi jaminan bahawa "Malaysia" bukanlah "Satu Bentuk Pemindahan Kuasa Dari London Ke Kuala Lumpur". Atas jaminan tersebutlah beliau telah bersetuju dengan idea pembentukan Malaysia dan berhempas-pulas untuk menjayakannya. Beliau juga telah mempengerusikan Malaysia Solidarity Consultative Committee (MSCC) dan Pengerusi kepada Kumpulan Sabah bagi perbincangan dalam Inter-Governmental Committee (IGC).

BUKTI KEEMPAT: DOKUMEN-DOKUMEN KOLONIAL DAN BUKU KAJIAN BRITISH COMMONWEALTH

Dalam bukti keempat ini, pihak kami tidak akan menyentuh secara terperinci kerana akan ada satu artikel khas ditulis untuk menerangkan secara terperinci tentang perkara ini.

Walau bagaimanapun, pihak kami masih tetap akan sertakan beberapa bukti-bukti yang telah direkodkan didalam dokumen-dokumen kolonial bahawa Malaysia itu adalah Malaya dan Malaya itu adalah Malaysia.

Sila rujuk kepada gambar dibawah ini. Kenyataan ini diambil didalam rahsia dokumen kolonial.

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut:

"Seperti yang saya dinasihatkan ditempat lain, kedudukan undang-undang adalah Persekutuan Baru tidak akan diwujudkan; ia adalah pembesaran persekutuan yang sedia ada dan dari sudut pandangan antarabangsa, ia seharusnya memperlihatkan seperti itu"


Dokumen diatas ini pula merupakan surat daripada Tunku Abdul Rahman kepada kerajaan British. Dia menyatakan bahawa dia tidak akan memberikan sebarang komitmen selagi Perjanjian Malaysia tidak ditandatangani yang akan menyaksikan dan mengesahkan bahawa pemindahan kuasa Perundangan dan Kedaulatan negara North Borneo (kini dipanggil Sabah), negara Sarawak dan negara Singapura kepada Malaysia (seperti yang telah didedahkan melalui Bukti Ketiga, Malaysia itu adalah Malaya).

Jadi, melalui perkongsian dua dokumen kolonial ini, adakah anda masih ragu-ragu dan tidak mahu menerima kenyataan berfakta bahawa malaya sebenarnya telah menjajah negara Sabah dan negara Sarawak melalui Perjanjian yang ditandatangi pada 9 Julai 1963? Atau anda masih tidak memahaminya? Jikalau masih tidak memahaminya, pihak kami akan menghasilkan beberapa artikel lagi untuk menerangkan dengan lebih mudah dan jelas berhubung perkara ini.

Pihak kami juga ingin berkongsikan tentang sebuah buku dengan anda semua yang telah ditulis oleh seorang Professor British yang bernama A.J.Stockwell. Beliau telah memadatkan semua dokumen-dokumen sepanjang proses pembentukkan Malaysia ini dan dimuatkan kedalam satu buku yang mempunyai 831 muka surat. Dokumen-dokumen kolonial yang dimiliki oleh pihak kami hampir semua telah dimasukkan dan dipadatkan didalam buku ini yang bernama "Malaysia" dalam kategori British Documents On The End Of Empire: Series B Volum 8 - Malaysia.

Ia merupakan satu buku rujukan yang sah, benar, berfakta dan dijadikan rujukan untuk kajian pembelajaran negara-negara didalam Commonwealth.

Anda semua digalakkan sepenuhnya untuk men "Download" buku ini. Setelah anda membacanyanya, anda bolehlah memutuskan sama ada semua perkongsian artikel yang selama ini disebarkan oleh pihak kami adalah berupa "hasutan, pembohongan, fitnah" ataupun "benar, berfakta dan sahih". Itu hak anda untuk menentukan.

Pihak kami juga berharap anda dapat sebarkan kebenaran ini melalui perkongsian secara verbal (mulut-perbualan, ceramah, perbincangan dan sebagainya) dan cetak. 

Keempat-empat bukti ini sepatutnya sudah cukup kuat untuk menyakinkan anda semua agar faham sepenuhnya bahawa selama ini Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak telah DITIPU oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dibawah kepimpinan malaya iaitu Tengku Abdul Rahman Putra Al-haj bahawa kononnya Persekutuan Malaysia ini adalah satu persekutuan Perkongsian oleh 4 buah negara. 

Sebaliknya dakwaan tersebut hanyalah satu PENIPUAN BESAR. Tunku Abdul Rahman melalui kenyataannya pada sebelum ini yang mengatakan bahawa North Borneo, Sarawak dan Singapura akan menjadi negeri ke-12, ke-13 dan ke-14 itu sememangnya benar tetapi dengan segera dia telah menafikan setelah mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Borneo. Dalam erti kata lain, sebenarnya ternyata memang SAH dan BENAR bahawa Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak sedang DIJAJAH oleh Malaya secara halus melalui identiti nama baru yang bertopengkan Malaysia.

Sir William Goode, Governor North Borneo pada waktu itu melalui kenyataannya telah memberikan amaran keras kepada Tunku Abdul Rahman seperti dibawah yang dipetik daripada buku yang berjudul "Malaysia", diterbitkan untuk Institute Commonwealth for Studies di University London ;

"Wholly support Malaysia but... Tunku must avoid "taking over" Borneo territories as Colonies. Any impression of being transferred as Colonies from Britain to Malaya will provoke a Merdeka [independence] Movement against K.L - potentially irresistible"

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

"Disokong sepenuhnya Malaysia tetapi... Tunku mesti mengelak "mengambil alih" wilayah Borneo sebagai Tanah Jajahan. Sebarang gambaran pemindahan sebagai Tanah Jajahan daripada British kepada Malaya akan mencetuskan Pergerakan Kemerdekaan menentang K.L - Potensinya sangat mustahil untuk dielakkan"

Walau bagaimanapun, Tunku Abdul Rahman membalas kenyataan beliau seperti berikut;

"The peoples of the territories are good, simple people. They will be easy to handle if ideas are not put in their heads"

Penterjemahan bahasa Malaysia adalah seperti berikut;

"Orang-orang di wilayah tersebut adalah baik, berfikiran ringkas. Mereka akan senang diurus jikalau idea tidak diletakkan didalam kepala mereka"

Seperti yang telah didedahkan kepada anda semua, Malaysia ini adalah tidak lain dan tidak bukan sebenarnya bersamaan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang telah ditubuhkan pada tahun 1957 dengan identitinya kekal, tidak berubah dan hanya pindaan perlembagaan sahaja yang dilakukan untuk membolehkan kemasukan wilayah baru ke dalam persekutuan serta dengan perluasan sempadan antarabangsa sahaja yang berubah. 

Daripada Bukti Satu, Bukti Dua, Bukti Tiga dan Bukti Empat ini, ia jelas mengatakan bahawa Malaysia itu adalah Malaya dan Malaya itu adalah Malaysia yang menjalankan kefungsian Struktur Asas Perlembagaan yang dibentuk berdasarkan kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 1957.

Dalam erti kata lain, Persekutuan Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963 adalah sangat bertentangan dengan konsep yang telah dipersetujui dikalangan pemimpin-pemimpin Negara Sabah, Negara Sarawak dan Negara Singapura yang mahukan pembentukkan "Persekutuan Baru" dibentuk berdasarkan kepada konsep "Perkongsian Empat Negara". 

Apa yang berlaku adalah disebaliknya yang mana Negara Sabah dan Negara Sarawak telah dijadikan "Extension state of Malaya" atau "Tambahan negeri Malaya" yang berlokasikan di Borneo. Dalam ertikata lain, inilah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai "Penjajahan Halus oleh Malaya". 

Namun, pemimpin-pemimpin Borneo dan Singapura pada waktu itu tidak sedar dan telah percaya bahawa ia adalah "Persekutuan Baru" yang dibentuk berdasarkan kepada formula "Rakan Kongsi Sama Rata (Equal Partnership)".

Pihak kami seterusnya akan memberikan pendedahan sebenar tentang status Kemerdekaan Negara Sabah dan Kemerdekaan Negara Sarawak pada kenyataan rasmi seterusnya.

Adakah kini anda sudah sedar? Jikalau ya, sila sebarkan info ini.

*********************************************************

Bahan-bahan rujukan untuk di DOWNLOAD sebagai rujukan anda;

Post a Comment

Author Name

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} YOUR_PROFILE_DESCRIPTION {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.