January 2015

Salam Sejahtera, Salam Hormat, Salam Perpaduan, Salam Kemerdekaan Negara Sabah dan Salam Kemerdekaan Negara Sarawak untuk kali ke-52 tahun kepada Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili sebuah Kumpulan Sosial didalam Facebook dengan nama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini bergerak dibawah naungan Sabah Sarawak Union (SSU) yang telah berdaftar secara SAH dibawah bidang Perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin memberikan kenyataan RASMI berhubung dengan kenyataan Peguam Negara (Attorney-General) Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak tidak ada hak untuk berpisah berdasarkan kepada Perjanjian 18 & 20 Perkara.

Disini, ingin saya ketengahkan hujah yang diberikan oleh Peguam Negara ini melalui keratan akhbar Daily Express yang bertarikh 24 Januari 2015 iaitu; "Gesaan Pemisahan Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia bersifat menghasut dan bertentangan dengan semangat persekutuan" [1]. Tambahan beliau "Kalau ada konsensus untuk perubahan, biarlah ia dilakukan oleh rakyat terbabit. Lebih penting lagi, biarlah ia dilakukan melalui mekanisme perlembagaan yang dipersetujui dan tanpa melanggar demokrasi berparlimen" [2]. Selain itu, Peguam Negara  juga mengatakan "Tetapi jika isunya benar-benar mengenai bagaimana perlindungan perlembagaan bagi Sabah dan Sarawak dilaksanakan, maka hujah dan perbahasan harus ditumpukan sewajarnya dan perbincangan dijalankan secara rasional" [3]. Selain itu juga, beliau mengatakan bahawa "kontrak sosial dengan Sabah adalah berdasarkan kepada perlindungan yang termaktub dalam Perjanjian 20-Perkara sementara bagi Sarawak, ia berdasarkan kepada Perjanjian 18-Perkara" [4]. Ditambahnya lagi "Memorandum yang mengandungi syarat-syarat perlindungan ini telah dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Antara Kerajaan yang ditubuhkan atas syor Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962. Syarat-syarat perlindungan dengan beberapa pengubahsuaian dimasukkan dalam Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak" [5]. Dan yang terakhir, beliau mengatakan bahawa "semua ini adalah fakta sejarah. Ia direkodkan untuk generasi masa datang dalam laporan-laporan dua suruhanjaya itu. Ia harus dibaca, dihargai dan difahami dengan betul oleh setiap generasi rakyat malaysia. Dengan itu, ini adalah kedudukan dipersetujui yang diambil oleh rakyat Sabah dan Sarawak sendiri apabila Sabah dan Sarawak bersetuju kepada penubuhan malaysia. Sekumpulan minoriti yang tidak berpuas hati tidak boleh mengubahnya secara satu pihak sahaja" [6].

Pertama [1], saya tidak bersetuju dan menyangkal sepenuhnya dakwaan daripada Peguam Negara yang mengatakan bahawa "Gesaan Pemisahan" ini adalah bersifat menghasut dan bertentangan dengan semangat persekutuan. Kenyataan peguam negara ini dibuat adalah melalui sudut kaca mata dan pandangan pemimpin-pemimpin malaya yang ingin menghalang usaha ini daripada berjaya. Pihak kami tidak pernah menghasut mana-mana pihak tetapi penyebaran kebenaran yang berfakta dan berbukti yang dilakukan oleh pihak kami ini telah mendapat sokongan yang menyeluruh sama ada secara terang-terangan mahupun senyap. Pendedahan tentang konspirasi penipuan yang selama ini tidak diketahui telah membangkitkan kemarahaan yang tidak mungkin akan pernah terpadam lagi. Ia telah disambut dengan tangan yang terbuka luas oleh rakyat Negara Sabah dan rakyat Negara Sarawak yang inginkan KEBENARAN DIJULANG TINGGI malah mereka sendiri dengan sukarela menawarkan diri untuk bersama-sama berjalan mengharungi Perjuangan yang akan Memerdekakan Bangsa Borneo daripada penjajahan halus yang dilakukan didalam persekutuan malaysia ini. Semangat Persekutuan yang telah lahir pada tahun 1963 sebenarnya sudah lama mati terkubur sejak tahun 1965 setelah Singapura keluar daripada persekutuan ini dan yang lebih menyedihkan lagi apabila pemimpin-pemimpin malaya yang tidak pernah ikhlas dalam menjaga semangat persekutuan ini  telah memburukkan lagi keadaan dengan membuat pindahan akta malaysia pada tahun 1976 dengan menurunkan status Negara Sabah dan Negara sarawak kepada status negeri. Campur tangan dalam hal-ehwal pentadbiran politik di Negara Sabah dan Negara Sarawak dahulu telah menyaksikan kejatuhan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi. Pemimpin-pemimpin yang berjuang atas nama kebenaran dan semangat persekutuan 1963 pula dituduh dengan pelbagai fitnah semata-mata untuk membuatkan rakyat membenci mereka dan seterusnya membolehkan rancangan malaya dilaksanakan melalui pemilihan barua-barua malaya yang akan menjayakan agenda malaya di Borneo. Contohnya di Negara Sabah melalui parti politik umno-bn untuk menjayakan projek IC bagi membolehkan penguasaan kuasa politik melalui undi haram oleh orang asing yang dihalalkan dengan pemberian ic. Mengapa kini anda mahu rakyat Negara Sabah dan rakyat Negara Sarawak menghormati semangat persekutuan ini sedangkan pemimpin diseberang sana, semenanjung tanah melayu (malaya) tidak pernah pun terlintas dihati mereka untuk menghormatinya dari awal proses penubuhan persekutuan ini lagi?  

Kedua [2], Perkara ini sememangnya telah dilakukan secara demokrasi dan mengikut mekanisme berpelembagaan. Malah teguran demi teguran yang membina telah dilakukan. Tetapi persoalannya, adakah ia berhasil dan menampakkan kesan yang positif? Pada 27 September 1966, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan yang merupakan Ketua Menteri Negara Sarawak Pertama telah digulingkan daripada jawatannya kerana tindakan campur tangan oleh pemimpin-pemimpin malaya yang telah dibantu oleh barua-barua malaya di Negara Sarawak atas kelantangan mendiang Stephen Kalong Ningkan dalam menegur tindakan pemimpin-pemimpin malaya yang menerajui kerajaan persekutuan malaysia yang telah bertindak melampaui batas kefahaman semangat persekutuan 1963. Penyingkiran beliau secara tidak demokratik dan melalui paksaan serta pengistiharaan darurat jelas membuktikan kepada rakyat bahawa pemimpin-pemimpin malaya ini umpama seperti cakap tidak serupa bikin. itu salah satu contoh yang jelas untuk menggambarkan keadaan masa lalu. Kini, contoh yang jelas untuk membuktikan bahawa kenyataan seperti "melakukannya secara demokrasi dan berpelembagaan" itu adalah satu tindakan yang sia-sia apabila YB.Darell Leiking telah membawakan usul untuk mengkaji semula perjanjian malaysia 1963 di peringkat parlimen malaysia. Apakah kesudahannya? Demikian juga apabila YB.Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan ingin membawakan usul untuk mengkaji perjanjian malaysia diperingkat negeri (negara) Sabah juga berakhir dengan kekecewaan. Mengapa takut untuk mengkaji semula perjanjian malaysia yang sebenarnya asas kepada penubuhan persekutuan malaysia ini? Apakah yang menjadi ketakutan pemimpin-pemimpin malaya sehingga apabila isu untuk mengkaji semula perjanjian malaysia ini dibangkitkan, ia seolah-olah menampakkan hari kiamat kepada persekutuan malaysia. Niat yang baik untuk menyelamatkan malaysia ditafsirkan salah malah dituduh sebagai penghasut dan penderharka serta pengkhianat. Untuk itu, pihak kami mohon anda memikirkan perkara ini secara terperinci. Siapakah sebenarnya yang tidak mengikut mekanisme berpelembagaan dan telah melanggar demokrasi berparlimen?

Ketiga [3], Isu mengenai perlindungan perlembagaan adalah antara satu faktor kepada kebangkitan perjuangan ini. Bagaimana anda selaku Peguam Negara mengangkat dan mendaulatkan sebuah perlembagaan yang jelas menampakkan kecacatan serta penipuan untuk menipu rakyat jelata Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak? Lihatlah definisi perlembagaan persekutuan yang merujuk "persekutuan" itu adalah persekutuan yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1957. Dalam erti kata lain, ia menggunapakai perjanjian pembentukkan kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 dan berkuatkuasa pada 1 Februari 1948. Pada 8 Februari 1956, sekali lagi sebuah perjanjian Kemerdekaan persekutuan tanah melayu (malaya) ditandatangani dan deklarasi kemerdekaan diistiharkan pada 31 Ogos 1957. Satu persoalan untuk anda selaku Peguam Negara yang sangat dihormati dan disanjung tinggi yang juga merupakan anak kelahiran bangsa Negara Sabah, adakah ketika itu Negara Sabah (North Borneo) dan Negara Sarawak sudah merdeka? Jikalau anda mengatakan belum dan masih berada dibawah jajahan British, dimanakah logiknya dalam perlembagaan persekutuan malaysia yang wujud sekarang mengatakan bahawa Negara Sabah dan Negara Sarawak adalah "negeri-negeri" dibawah kerajaan persekutuan tanah melayu yang telah menjenamakan dirinya sebagai "malaysia" dan menggunakan perjanjian persekutuan tanah melayu (malaya) sebagai asas kepada perlembagaan malaysia? Mengapa tidak menggunakan perjanjian malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan dibentuk secara rasmi pada 16 September 1963?

Keempat [4], sejauh manakah perlindungan kontrak sosial dengan Negara Sabah dan Negara Sarawak yang berlandaskan kepada 20 & 18 Perkara itu dihormati? Adakah hanya Perkara 7 sahaja yang disanjung tinggi malah dilindungi untuk menghalang kemaraan perjuangan kami, SSKM-SSU(UK)? Pihak kami yakin bahawa anda sedar 20 & 18 Perkara hanyalah berstatus Memorandum yang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC). Perkara 7 telah ditolak bulat-bulat dengan justifikasi yang jelas bahawa pembentukkan persekutuan ini adalah berdasarkan kepada "kerelaan" negara-negara anggota. Atas sebab itu, Perkara 7 tidak diletakkan ke dalam perlembagaan kerana ini membolehkan Negara Sabah dan Negara Sarawak menarik diri daripada persekutuan pada bila-bila masa jikalau mereka merasakan persekutuan ini sudah tidak membawa kebaikan kepada mereka. Singapura sudah membuktikan akan kenyataan ini benar yang mana malaya tidak mempunyai locus standi untuk menghalang sebarang perpisahan dikalangan anggota-anggota persekutuan. Ini kerana kerajaan persekutuan malaysia yang wujud sekarang bukanlah kerajaan penuh yang dibentuk pada 16 September 1963 tetapi adalah kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menjenamakan diri mereka kepada malaysia dan menggunakan perjanjian  yang ditandatangani pada 8 Februari 1956. Pemimpin-pemimpin Negara Sabah dan Negara Sarawak bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia berdasarkan kepada Perjanjian 9 Julai 1963 dan bukan berlandaskan kepada perjanjian persekutuan tanah melayu (malaya)!

Kelima [5], benar. Pihak kami bersetuju dengan kenyataan anda. Namun adakah ia terlaksana, dihormati dan dipatuhi? Sekali lagi, Perkara 7 TIDAK DIMASUKKAN KE DALAM AKTA ataupun PERLEMBAGAAN Malaysia. Dalam erti kata lain, perlembagaan persekutuan malaysia tidak mempunyai hak mahupun locus standi untuk menghalang perpisahan ini yang mana ia adalah kehendak dan suara rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak. Dengan memasukkan halangan untuk berpisah ke dalam Akta Hasutan, itu akan menjadi salah satu bukti yang kukuh lagi kepada perlanggaran perjanjian malaysia kerana ia sudah bertentangan dengan rekomendasi IGC. Pihak kami tidak menafikan akan berlaku sedikit kesulitan nanti dalam perjuangan ini namun ia akan dilalui dan ditempuhi dengan sepenuh hati sebagai Perjuangan untuk Memerdekakan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak daripada penjajahan zaman moden yang telah dilakukan melalui projek persekutuan malaysia ini.

Keenam [6], pihak kami juga bersetuju dengan kenyataan anda bahawa semua ini adalah fakta sejarah. Ia direkodkan untuk generasi masa datang dalam laporan-laporan dua suruhanjaya itu. Ia harus dibaca, dihargai dan difahami dengan betul oleh setiap generasi rakyat malaysia. Namun pihak kami terpaksa menyangkal fakta yang mengatakan bahawa kononnya rakyat Negara Sabah (North Borneo) dan rakyat Negara Sarawak bersetuju dengan pembentukkan persekutuan malaysia ini. Dengan mengambil pandangan sekitar 4000 orang di kedua-dua negara sahaja pada waktu itu, anda mengatakan bahawa rakyat Sabah dan rakyat Sarawak bersetuju membentuk persekutuan malaysia? Ditambah lagi dengan kesimpulan Lord Cobbold yang mengatakan 1/3 bersetuju tanpa syarat, 1/3 bersetuju dengan syarat dan 1/3 tidak bersetuju untuk mewakili jumlah 4000 lebih ini, anda katakan rakyat semuanya bersetuju?

Peranan Suruhanjaya Cobbold bukanlah untuk memungut pungutan suara atau membuat referendum tetapi adalah lebih untuk meninjau dan memahami apakah sebenarnya yang diinginkan oleh rakyat di Kepulauan Borneo ini. Atas sebab itulah laporan Cobbold dikeluarkan dan memberikan rekomendasi kepada British dan malaya tentang apakah yang perlu diambil perhatian dalam menubuhkan sebuah kerajaan persekutuan. Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin di kedua-dua negara Borneo ini telah mengemukakan memorandum agar dimasukkan ke dalam perlembagaan persekutuan malaysia. Dan terima kasih diucapkan kepada Lord Cobbold dan Lord Landsdowne apabila mereka bertindak tegas menolak terhadap cadangan yang melarang negara Sabah dan negara Sarawak berpisah daripada persekutuan. Hasilnya, kini rakyat bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak mempunyai HAK MUTLAK untuk memilih perpisahan ataupun Self-Determination selari dengan resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan mana-mana bangsa dalam sesebuah negara untuk Merdeka dan Berkerajaan Sendiri. Satu lagi, dakwaan anda terhadap kami kononnya didalangi oleh "kumpulan minoriti" seharusnya ditujukan kepada Laporan Cobbold. Tinjauan pandangan tentang gagasan persekutuan malaysia ini telah dilakukan hanya kepada "sekumpulan minoriti" dengan bilangan sekitar 4000 lebih sahaja. Bandingkan petisyen yang digerakkan oleh pihak kami, SSKM-SSU(UK) yang kini sudah mencapai 39,301. Adakah benar kami hanya satu "kumpulan minoriti"?

Pihak kami, SSKM-SSU(UK) juga mempunyai hak untuk mendakwa kerajaan persekutuan malaysia kerana telah berniat untuk menghasut generasi muda di kedua-dua negara untuk mempercayai segala penipuan dalam sejarah yang telah diajar di sekolah rendah, menengah mahupun diperingkat Universiti. Jangan sesekali memandang rendah lagi terhadap Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak kerana generasi sekarang bukan generasi yang akan tunduk kepada penipuan apatah lagi kepada penindasan. Impian dan matlamat kami adalah ingin memiliki masa depan yang terjamin dengan kepimpinan dalam kerajaan yang adil dan saksama serta bebas daripada gejala rasuah. Adakah impian ini salah dimata kerajaan persekutuan malaysia? Atas sebab itulah perpisahan daripada persekutuan ini merupakan jalan yang terbaik kerana selagi terdapat ikatan hubungan pemerintahan dengan persekutuan tanah melayu yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia, selagi itulah impian ini tidak akan pernah menjadi realiti.

In Sovereignity We Breathe, In Unity We Believe

Konsep Asal / Original Persekutuan Malaysia
Konsep Asal Persekutuan Malaysia ini telah diubah selepas Negara Singapura berpisah ataupun keluar daripada Persekutuan ini pada 8 Ogos 1965 dan diumumkan secara rasmi oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Status "Negara" Sabah dan Sarawak telah diturunkan menjadi "negeri" pada 28/7/1976 sebulan selepas Tragedi Double Six yang telah meragut Pemimpin-Pemimpin Nasionalis Negara Sabah yang diketuai oleh Tun Donald Stephens / Tun Fuad Stephens

Konsep Persekutuan Malaysia yang telah diubah pada 28/7/1976
Dibawah ini adalah nota tentang pindaan yang telah dilakukan dalam pengertian "Federation / Persekutuan".

The Original Federation

The Amended Federation
Art. 1:

The original Article as it stood on Merdeka Day read as follows:

"1. (1) The Federation shall be known by the name of Persekutuan Tanah Melayu (in English the Federation of Malaya).

(2) The States of the Federation are Johore, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor and Terengganu (formerly known as the Malay States) and Malacca and Penang (formerly known as the Settlements of Malacca and Penang).

(3) The territories of each of the States mentioned in Clause (2) are the territories of that States immediately before Merdeka Day.".


Art. 1(2):

1. The present Article without Clause (4) was inserted by Act 26/1963, section 4, in force from 16-09-1963 (i.e. when Malaysia was established). Act 59/1966 section 2, in force from 09-08- 1 9 6 5 (i.e. the date Singapore left Malaysia) amended Clause (2) by deleting therefrom paragraph (c) which read as follows:

"(c) the State of Singapore.".

2. The present Clause (2) was substituted by Act A354, section 2, in force from 27-08-1976.This clause before its substitution by Act A354 was amended by Act 26/1963, section 4, in force from 16-09-1963 (i.e. when Malaysia was established) read as follows:

"(2) The States of the Federation shall be—

(a) the States of Malaya, namely, Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor and Terengganu;

(b) the Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and

(c) the State of Singapore.".

Art. 1(3):

The words "Subject to Clause (4),"were inserted before the words "The territories of each of the State" by Act A206, Schedule, in force from 01-02-1974. 

Art. 1(4):

1. The original Clause which was added by Act A206, Schedule, in force from 01-02-1974 (i.e. the date of the establishment of the Federal Territory of Kuala Lumpur) read as follows:

"(4) The territory of the State of Selangor shall exclude the Federal Territory established under the Constitution (Amendment) (No. 2) Act, 1973.".

2. Subsequently this Clause was amended by Act A566. Subsection 2(1), in force from 01-02-1974, by inserting after the figures "1973" the words, "and the Federal Territory shall be a territory of the Federation.".

Subsection 2(2) of Act A566 also provided w.e.f. 01-02-1974 that—

"Any reference in the Constitution and other written law to the Federation, Malaya, Malaysia, the States of the Federation, the States of Malaya, or West Malaysia, however used, whether or not used in conjunction with or as part of another expression, shall be construed to include a reference to the Federal Territory, unless there is express provision to the contrary or there is something in the subject or context inconsistent with or repugnant to such construction.".

3. The above Clause was substituted by Act A585, section 11, in force from 16-04-1984.

4. This Clause was again substituted by Act A1095, section 11, in force from 01-02-2001.

***  Negara Singapura BUKAN DIKELUARKAN daripada persekutuan malaysia tetapi TELAH MENINGGALKAN (9-8-1965 was the date Singapore left malaysia) persekutuan malaysia. Persekutuan Malaysia ini juga TIDAK PERNAH MERDEKA TETAPI DIBENTUK PADA 16 September 196331 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) ***

Salam sejahtera, Salam Perpaduan dan Salam Kemerdekaan Negara Sabah dan Negara Sarawak untuk kali ke-52 tahun kepada semua Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones yang mewakili sebuah kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini sudah bergerak dibawah naungan sebuah Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah berdaftar secara SAH dibawah bidang perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan isu nama saya yang telah dipopularkan oleh dua orang rakyat Negara Sabah.

Dalam kenyataan ini, tidak perlulah pihak kami untuk menyebut nama mereka kerana mereka ini cukup terkenal dengan sikap kebudak-budakkan walaupun umur sudah menunjukkan kematangan. Mereka ini juga sangat terkenal dengan perbuatan yang jelas memalukan diri-sendiri (mungkin disebabkan tidak mengenal erti malu?). Jikalau tidak, rajin-rajinlah bertanya kepada rakan-rakan Facebook tentang siapakah gerangan mereka yang dimaksudkan didalam kenyataan ini. 

Saya Doris Jones dengan bangga ingin mengesahkan bahawa nama sebenar saya adalah Doris Yapp Kim Yuon daripada etnik Sino Kadazan. Saya memiliki sijil kelahiran anak Negara Sabah. Ya, saya adalah peranakan Cina dan Kadazan. Saya menyambut Tahun Baru Cina, Hari Natal, Hari Raya dan Hari Kaamatan.

Satu soalan untuk anda semua, adakah anda nampak sebarang masalah dengan nama, etnik dan perayaan yang disambut oleh saya?

Ingin saya perjelaskan disini bahawa perjuangan ini [SSKM-SSU(UK)] adalah berlandaskan kepada semangat Sabah for Sabahan, Sarawak for Sarawakian dan Borneo for Bornean bersama-sama dengan Pejuang-pejuang Kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak yang lain. Ia merangkumi semua etnik di Negara Sabah dan Negara Sarawak. Saya tidak melihat perbezaan etnik ini akan menghalang usaha dalam pembebasan Bangsa Borneo daripada cengkaman penjajahan kerajaan malaya yang telah menyamar menjadi kerajaan malaysia.

Mengapa?

Sebab dalam perjuangan ini adalah bertujuan untuk melindungi Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik dengan kebudayaannya yang masing-masing unik, yang sebenarnya cuba untuk dilenyapkan dengan satu cara iaitu penyerapan identiti dan penjenamaan etnik baru melalui proses memalayanisasikan Bangsa Borneo. Tindakan ini MESTI DIHALANG SEPENUHNYA agar identiti Bangsa Borneo tidak akan hilang di Dunia ini. Ia adalah tanggungjawab bersama.

Perjuangan ini bukan berlandaskan kepada keutamaan mana-mana etnik tetapi adalah berlandaskan kepada satu BANGSA dalam Negara. Bangsa yang merangkumi kesemua etnik Orang Asal dan yang bukan Orang Asal tetapi mempunyai semangat Sebangsa yang asli. Itulah salah satu misi Perjuangan teras pihak kami.

Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak.

Anda lihat, anda baca dan anda sedar bahawa sejak kebelakangan ini, terdapat provokasi kebudak-budakkan yang dibelakangi oleh individu-individu yang luarannya nampak matang namun dalamannya sungguh kurang matang dan tidak professional. Diselebungi dengan emosi yang tidak stabil, penuh dengan kedengkian, dan tidak salah dilabelkan sebagai duri dalam daging. Tapi syukur, kerana mereka sudah pun dikenalpasti dan kini rakyat sendiri telah mampu melihat dan menilai rentak perjuangan mereka yang berusaha untuk menikam daripada depan dan belakang bagi melumpuhkan semangat perjuangan Bangsa Borneo.

Punca kepada provokasi ini menurut kefahaman kami adalah disebabkan apabila pihak kami terus mempertahankan pendirian dengan hujah serta justifikasi yang jelas bahawanya 20 Perkara itu adalah salah satu bukti yang telah memperlengkapkan Perjanjian Malaysia 1963. Ini kerana 20 Perkara adalah satu memorendum yang telah dihantar kepada pihak IGC oleh lima buah badan parti politik Negara North Borneo (kini dikenali sebagai Sabah) untuk diberikan perhatian lebih agar ia dimasukkan kedalam Perjanjian Malaysia. Namun Perkara 7 tidak dipersetujui kerana ia, menurut kebijaksanaan Lord Landsdowne (Pengerusi Inter-Governmental Committee-IGC), pembentukkan persekutuan malaysia ini adalah berdasarkan kepada "kerelaan" masing-masing. Atas sebab itu, tidak perlu dimasukkan larangan untuk berpisah kerana Negara Sabah (dahulunya North Borneo) dan Negara Sarawak mempunyai HAK MUTLAK untuk menamatkan persekutuan dengan malaya dalam persekutuan malaysia ini "pada bila-bila masa" sahaja tanpa sebarang halangan mahupun sekatan.

Pihak kami akan menggunakan Dokumen Kolonial British, Laporan Suruhanjaya Cobbold, 18 & 20 Perkara, Laporan IGC dan Perjanjain Malaysia 1963 sebagai bukti yang akan digunakan bagi menjustifikasikan kepada Pemisahan daripada Persekutuan Malaysia ini. Manakala pihak yang menentang pendirian kami ini mengatakan bahawa mereka akan "HANYA" menggunakan Perjanjian Malaysia 1963 sahaja. Namun perjuangan mereka hanyalah untuk terus kekal didalam persekutuan malaysia dengan hanya memperbetulkan konsep yang seharusnya dipraktikkan oleh negara anggota dalam persekutuan malaysia. Jadi, jelas sudah perbezaan yang nyata daripada pihak penentang dengan perjuangan pihak kami yang sudah nekad dalam keputusan dan percaya bahawa selagi Negara Sabah dan Negara Sarawak bersekutu dengan malaya dalam persekutuan malaysia, selagi itulah masa depan Bangsa Borneo iaitu Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak tidak akan terjamin malah penindasan itu akan menjadi sesuatu yang tidak dapat digambarkan nanti melalui kata-kata.

Semoga pencerahan ini mampu menerangkan segala kekeliruan yang timbul daripada provokasi murahan golongan itu yang sekadar ingin mendapatkan perhatian sahaja demi mempromosikan diri agar mendapat sokongan pada PRU14. Orang Sabah cakap, kirim salam sajalah.

Sebelum mengakhiri kata-kata dalam kenyataan ini, ingin saya mengucapkan Selamat membuat persiapan dalam menyambut Tahun Baru Cina kepada semua etnik Cina daripada Negara Sabah dan Negara Sarawak. Semoga ikatan kekeluargaan akan bertambah erat dan rezeki akan lebih melimpah-limpah pada tahun ini. 

Join The Fight!

Kenyataan RASMI Datuk James Ligunjang.

"Ingin saya jelaskan bahawa kempen HPM63 adalah perjuangan rakyat yang bermula di Tambunan pada malam 15 hb september 2014 sempena convoy Batu Sumpah ke Keningau yang diketuai oleh Dr.Jeffrey Kitingan.

Matlamat HPM63 adalah untuk memberi kefahaman kepada rakyat Sabah dan Sarawak mengenai dengan perjanjanjian 1963 dan apa isi kandungannya yang perlu dihormati oleh semua pihak. Justeru itu, kita mohon semua parti dan NGO mendokong perjuangan ini dan menyertai Himpunan Rakyat serentak di Kuching dan Kota Kinabalu pada 16 hb September 2015 untuk mendesak semua pihak menghormati Perjanjian.

Kita mempelawa semua pertubuhan mendokongnya dan tidak memilikinya.

Akhirnya kata, saya bukan ahli Parti Pakar dan saya tidak pernah menyekat mana pertubuhan Parti Politik dan NGO untuk menjalankan akitiviti mereka. 

Yang penting pada saya, kita wujudkan persafahaman dan kerjasama untuk menjayakan aspirasi rakyat SS. 

Sekian."

Datuk James Ligunjang
11 Januari 2015


Respon SSKM-SSU(UK)

Ingin pihak SSKM-SSU(UK) katakan disini bahawa bukan musuh yang ingin dicari dalam perjuangan tetapi adalah Kemerdekaan sebenar Negara Sabah dan Negara Sarawak.

Kenyataan demi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kami adalah untuk memaklumkan kepada umum tentang keputusan, pandangan kami dan tambahan juga demi untuk mempertahankan imej serta perjuangan ini.

Semoga pencerahan daripada Datuk James Ligunjang ini mengenai konflik yang wujud diantara SSKM-SSU(UK) dan HPM63 sebelum ini mampu mengeratkan lagi persefahaman seterusnya meningkatkan kerjasama dua hala demi kepentingan bersama untuk Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak.

Salam Berjuang untuk semua...

Join The Fight!

Salam sejahtera, Salam Hormat, Salam Perpaduan dan Salam Tahun Baru 2015 kepada semua rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili sebuah kumpulan sosial dalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini bernaung serta  bergerak melalui sebuah NGO yang berdaftar SAH dibawah bidang perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland dengan nama kumpulan Sabah Sarawak Union (SSU)-UK ingin membuat satu kenyataan rasmi untuk mencerahkan kekeliruan serta konflik yang timbul dalam perjuangan ini diantara SSKM-SSU(UK) dengan kumpulan gerakkan sosial yang bernama Hormati Perjanjian Malaysia 1963 (HPM63) yang diketuai oleh En.Zainnal Ajamain dan juga Datuk James Ligunjang.

Antara kekeliruan dan konflik yang timbul adalah seperti berikut; En.Zainnal Ajamain menerangkan bahawa 20 Perkara adalah ciplak laporan Cobbold dan tidak mempunyai asas dalam Perjanjian Malaysia. Ini menyebabkan beliau mengatakan bahawa tiada guna untuk menuntut perpisahan yang membawa kepada Kemerdekaan sebenar jikalau 20 Perkara dibawa dalam perjuangan. Ini kerana dalam 20 Perkara, Perkara 7 mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak tidak mempunyai hak untuk berpisah. Justeru, ia adalah satu usaha yang sia-sia [1]. Manakala Datuk James Ligunjang pula mengatakan bahawa usaha SSKM-SSU(UK) dan HPM63 adalah dua usaha yang berbeza. Ini kerana menurut pendapatnya, petisyen mengandungi saranan untuk pihak tertentu mengambil tindakan manakala HPM63 memfokuskan kepada memberi penerangan mengenai tentang apakah itu Perjanjian Malaysia dan sejauh manakah ia sudah terlaksana [2]

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan TAHNIAH dan RIBUAN TERIMA KASIH kepada kumpulan HPM63 kerana telah berjaya dalam meningkatkan kesedaran serta merungkai segala persoalan-persoalan yang selama ini telah menjadi pertanyaan umum. Pengiktirafan ini wajar diiktirafkan kerana ia telah menelanjangkan penipuan, konspirasi serta kekejian permainan politik pemimpin-pemimpin malaya keatas Bangsa Borneo iaitu Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya, secara peribadi memuji dan menyanjung tinggi sumbangan yang telah dilakukan oleh HPM63. Dan atas sebab itu, pihak SSKM-SSU(UK) telah secara sukarela memberikan bantuan secara langsung mahupun tidak langsung tanpa dipinta dalam usaha untuk menyebarkan kebenaran hasil daripada pendedahan yang telah dilakukan oleh HPM63. Namun, setelah bantuan telah diberikan kepada HPM63, kekecewaan timbul dipihak kami apabila laporan yang diterima mengatakan bahawa pihak HPM63 sedang berusaha untuk mencalarkan perjuangan SSKM-SSU(UK). Atas sebab itu, saya mewakili kumpulan SSKM-SSU(UK) harus mengambil satu keputusan tegas untuk melindungi dan mempertahankan perjuangan SSKM-SSU(UK) daripada sebarang usaha pihak luar yang mahu menjejaskan perjuangan ini. Kenyataan yang dikeluarkan ini langsung tidak mempunyai niat untuk mencalarkan usaha HPM63 tetapi adalah lebih kepada mempertahankan dan melindungi perjuangan SSKM-SSU(UK).

Pertama [1], saya tidak bersetuju dengan pandangan En.Zainnal Ajamain apabila beliau mengatakan bahawa 20 Perkara itu adalah ciplak daripada Laporan Cobbold. Apa yang dapat diperkatakan melalui rujukan dokumen yang ada dalam simpanan pihak kami ialah 20 Perkara sebenarnya adalah rumusan dan diterjemahkan dalam bentuk Memorendum secara keseluruhan daripada perkara-perkara yang telah diketengahkan oleh semua pihak daripada badan-badan parti politik di kedua-dua negara pada waktu itu (North Borneo-Sabah dan Sarawak) yang terkandung didalam Laporan Cobbold. Benar bahawa Laporan Cobbold siap dirumuskan dalam satu bentuk laporan lengkap pada 21 Jun 1962 manakala Memorendum 20 Perkara telah dibentangkan pada 29 Ogos 1962 semasa persidangan Inter-Governmental Committee yang berlangsung pada sekitar bulan Ogos dan September 1962. Inter-Governmental Committee berperanan untuk merangka penyusunan Perlembagaan termasuk Perlindungan kepada Keistimewaan serta kepentingan North Borneo (kini Sabah) dan Sarawak dalam aspek-aspek seperti Kebebasan beragama, Pendidikan, Perwakilan di Parlimen Persekutuan, Kedudukan etnik-etnik Orang Asal, Kawalan Imigresen, Kerakyatan dan juga Perlembagaan Negara Sabah dan Perlembagaan Negara Sarawak. Memorendum 20 Perkara juga telah dimasukkan kedalam Perjanjian Malaysia sebagai Asas untuk Negara Sabah (North Borneo) berada dalam Persekutuan Malaysia sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan malaya dan bukan "negeri" kepada persekutuan tanah melayu yang kini telah mengelarkan diri mereka sebagai "malaysia". 

Apabila anda berusaha untuk menafikan akan kewujudan 20 Perkara dan mengatakan ia tidak relevan, maka anda secara langsung mengatakan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 itu juga tidak relevan kerana Perjanjian Malaysia telah memasukkan Perkara-Perkara yang terkandung didalam 20 Perkara. Walaupun begitu, Lord Lansdowne tidak bersetuju untuk memasukkan Perkara 7 ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia kerana menurut kebijaksanaannya, pembentukkan Persekutuan Malaysia adalah atas dasar "sukarelawan". Maka tiada paksaan harus dikenakan kepada mana-mana anggota yang menyertai persekutuan ini. Atas sebab itu, mana-mana negara yang menyertai Persekutuan ini dengan "Sukarela", mereka juga bebas untuk keluar daripada persekutuan ini pada bila-bila masa tanpa sebarang bentuk halangan.

Pihak SSKM-SSU(UK) menggunakan 20 Perkara bagi Negara Sabah sebagai asas dalam perjuangan ini adalah bertujuan sebagai perisai. Ia secara langsung akan menjadi pembuka mata kepada umum tentang aspek-aspek apakah yang telah dilanggari dan juga tidak dihormati oleh malaya selama ini. Mengapakah anda perlu takut akan Perkara 7? Tidakkah sudah jelas bahawa Perkara 7 itu tidak akan menghalang kepada perjuangan ini kerana Lord Lansdowne sudah jelas menyatakannya. Jikalau perjuangan SSKM-SSU(UK) tidak menggunakan 20 Perkara untuk Negara Sabah, bagaimanakah cara untuk menerangkan kepada umum secara jelas tentang aspek-aspek apakah yang telah dilanggari dan tidak dihormati oleh kerajaan Persekutuan Malaysia? Jadi, tiada istilah kononnya 20 Perkara itu diciplak daripada Laporan Cobbold kerana pengertian itu adalah tidak benar sama sekali. Satu lagi, perjuangan ini tidak sia-sia kerana kesedaran sudah dan sedang memuncak dikalangan rakyat Negara Sabah dan juga rakyat Negara Sarawak. 

Kedua [2], saya berasa kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk James Ligunjang kerana beliau telah memberikan kefahaman yang mengelirukan. Saya bersetuju bahawa petisyen SSKM-SSU(UK) ini membawa saranan untuk mengambil tindakan iaitu membawa kes ini kepada peringkat antarabangsa. Ini sememangnya kes antarabangsa kerana Perjanjian Malaysia ini melibatkan 5 buah Negara dengan mendapat pengiktirafan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)- United Nation (UN). Persoalannya, dimanakah salahnya petisyen ini? Anda dengan jelas mengatakan bahawa HPM63 itu hanya memfokuskan kepada memberikan penerangan tentang apakah itu Perjanjian Malaysia dan sejauh manakah ia telah terlaksana. Persoalannya lagi, mengapa anda mengganggu pungutan Petisyen SSKM-SSU(UK) dengan melarang sebarang usaha pungutan ini dilakukan ketika sesi ceramah itu habis dilakukan? Tindakan anda itu sudah melampaui batas persefahaman serta mengganggu aktiviti pungutan petisyen SSKM-SSU(UK).

Pihak SSKM-SSU(UK) juga telah banyak menerima laporan daripada sukarelawan SSKM-SSU(UK) bahawa mereka telah didekati oleh En.Zainnal Ajamain dan Datuk James Ligunjang untuk membantu mereka dalam kempen HPM63 dan diajak untuk menyertai parti PAKAR (parti tempatan baru ditubuhkan dan telah diluluskan). Pada masa yang sama, mereka ditegah dan dilarang untuk memungut petisyen SSKM-SSU(UK) semasa sesi ceramah HPM63 dilaksanakan. Tambahannya lagi, terdapat unsur-unsur untuk mencalarkan usaha SSKM-SSU(UK) yang sedang dan telah dilakukan oleh kedua-dua mereka ini.

Pihak kami tidak ingin memberikan sebarang komen tentang apakah misi yang sebenarnya ingin dicapai oleh HPM63 ini namun jikalau sekadar untuk memberikan penerangan, tidak salah jikalau saya katakan bahawa pihak kami telah dan sedang melakukannya sejak empat tahun lepas lagi. Anda membezakannya kepada dua perkara namun bagi pihak kami, ia adalah satu perkara yang sama malah ia disusuli dengan tindakan iaitu Petisyen. Pihak kami, SSKM-SSU(UK) "Talk with Action (TWA)".dan BUKAN "No Action Talk Only (NATO)".

Justeru, ingin saya menyarankan kepada semua Sukarelawan-Sukarelawan SSKM-SSU(UK) di Negara Sabah dan Negara Sarawak agar tidak terkeliru dalam perkara ini. Pihak SSKM-SSU(UK) tidak melarang mana-mana sukarelawan untuk terlibat dalam program HPM63 kerana ia memberikan penerangan kepada Perjanjian Malaysia 1963 namun jangan biarkan diri anda terpedaya dan terkeliru dalam sebarang unsur yang cuba membuatkan anda kehilangan kepercayaan dalam perjuangan SSKM-SSU(UK). Anda juga bebas untuk membeli dan memakai baju HPM63 tetapi anda juga bebas untuk tidak berbuat demikian. Tambahan lagi, tiada larangan kepada mana-mana sukarelawan untuk menyertai mana-mana parti politik atas kapasiti individu tetapi biarlah ia adalah parti Politik Tempatan sahaja yang berjuang untuk Bangsa Borneo dan bukan parti politik daripada malaya yang mengangkat ketuanan malaya di Borneo.

Untuk makluman umum, sijil keahlian SSKM-SSU(UK) akan dihantar melalui email pada penghujung bulan Januari 2015. Ia adalah kepada mereka yang telah mendaftar pada bulan October dan November 2014. Kepada mereka yang telah mendaftar pada bulan Disember, sila bersabar kerana permohonan anda sedang dalam proses yang dijangka siap untuk diberikan sijil sekitar bulan Februari ataupun bulan Mac.

Satu perkara lagi yang ingin disampaikan ialah akan ada satu upacara majlis MoU (Mutual of Understanding) diantara SSKM-SSU(UK) dengan NGOs Tempatan Negara Sabah bakal dilakukan dalam tahun ini agar wujud satu persefahaman yang jelas serta kerjasama secara rasmi demi memperkukuhan lagi momentum kebangkitan Nasionalisme di Borneo. Tarikh dan Tempat akan dimaklumkan kemudian.

Akhir kata, sekali lagi ucapan Selamat Tahun Baru 2015 ingin saya tujukan kepada Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Biarlah Kebangkitan Nasionalisme ini menjadi peneraju kepada Penyelamatan Bangsa Borneo daripada Penindasan kuasa penjajahan halus daripada semenanjung tanah melayu melalui kerajaan mereka itu kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia.

Pergo Et Perago - Dum Spiro Spero

Author Name

{picture#YOUR_PROFILE_PICTURE_URL} YOUR_PROFILE_DESCRIPTION {facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.